Jumaat, 9 September 2011

Nilai Cinta


Islam telah meletakkan dasar-dasar praktikal dan cara yang positif dalam usaha memperkukuhkan ikatan cinta dan kasih sayang.
Andai dasar-dasar ini dipegang teguh oleh Muslim seluruhnya, maka persaudaraan yang kita istilahkan sebagai 'ukhuwah fillah abadan abada' atau 'ukhuwah lestari selamanya' itu akan terus mekar serta semakin kukuh.
Mari kita lihat beberapa panduan yang wajar kita terjemahkan dengan amal selain daripada doa, senyum, dan sapaan :
1) Apabila saudara mengasihi seseorang kerana Allah, maka ia hendaklah memberitahunya bahawa ia mencintainya.
"Apabila seseorang mencintai saudaranya maka hendaknya ia memberitahu kepadanya." (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi)
2) Hendaklah melazimkan berjabat tangan apabila bertemu dengan seseorang.
"Tidak ada dua orang Mukmin yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan kedua-duanya diampuni dosa sebelum berpisah." (Riwayat Abu Daud dari Barra)
3) Terus menghidupkan serta menggalakkan program dan kempen ziarah-menziarahi dari semasa ke semasa.
"Pasti akan mendapat cinta-Ku orang-orang yang mencintai kerana Aku, di mana kedua-duanya saling berkunjung kerana aku, dan saling memberi kerana Aku" (Hadis Qudsi)
4) Hendaklah mengucapkan tahniah kepada saudaranya pada tempat yang munasabah.
"Sesiapa yang mengucapkan selamat kepada saudaranya ketika saudaranya mendapat kebahagiaan, nescaya Allah akan menggembirakannya pada hari Kiamat." (Riwayat Tabrani)
5 ) Lazimkan memberi hadiah dalam keadaannya yang sesuai.
"Biasakanlah kamu untuk saling memberi hadiah, nescaya kamu akan saling mencintai." (Riwayat Tabrani)
6) Berikanlah keutamaan dalam menunaikan hajatnya.
"Sesiapa yang meringankan beban penderitaan seorang Mukmin di dunia, pasti Allah akan meringankan beban penderitaannya di Akhirat kelak. Sesiapa yang memudahkan orang yang dalam keadaan susah, pasti Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan di Akhirat nanti. Sesiapa yang menutupi aib seseorang Muslim, pasti Allah akan menutup aibnya di dunia dan juga di Akhirat. Dan Allah akan selalu menolong hamba-Nya jika hamba tersebut menolong saudaranya." (Riwayat Muslim)
As-Syahid Imam Hassan al-Banna telah menyifatkan bahawa ukhuwah ialah ikatan hati dan jiwa yang diasaskan oleh aqidah.
Aqidah adalah merupakan ikatan yang paling kukuh serta bernilai. Ia juga merupakan natijah keimanan, manakala perpecahan adalah sebahagian daripada natijah kekufuran.
Kesatuan tidak akan lahir tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya atau kita isitilahkan sebagai 'salamatus sodri.'
Manakala darjat yang paling tinggi ialah seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri iaitu 'ithar.'
Usahlah kita asyik berbicara tentang bersatu, bersatu, dan bersatu kalau hendak bersama di atas tikar sembahyang pun kita tidak mampu!
Mungkin kita tidak sependapat tetapi harus masih kekal bersepakat supaya musuh-musuh Islam yang lebih utama di luar sana untuk kita perangi tidak bersuka-ria melihat bibit-bibit perpecahan yang ada.
Dengan teguhnya ukhuwah, Insya-Allah, segala rintangan dapat kita tempuh dan rempuh dengan jayanya. Berlapang dada dan bersangka baiklah!
Kalian,
Jauhilah dari bersangka-sangka,
Kerana banyak dalam sangkaan-sangkaan itu adalah kejahatan,
Selemah-lemah ukhuwah itu adalah percaya kepada sahabatnya,
Maka dengan itu akan kembalilah kekuatan,
Kerana dipercayai itu lebih baik daripada hanya sekadar dicintai dan disayangi.

Glosari

1) Salamatus Sodri=Seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya. 2) Ithar=Seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri

Biodata Penulis

'Afifah binti Azman Berasal dari Negeri Sembilan dan sekarang menuntut di Universiti Mu’tah, Karak, Jordan sejak tahun 2008. Beliau juga aktif dalam bidang penulisan. Hasil penulisannya diluahkan melalui blognya http://afifahazam.blogspot.com.

The Truly Hijab

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...