Daripada lompong-lompong kesilapan kita itu, kita belajar. ~ picture by sStranger of Deviant Art
Ramai orang takut untuk silap. Silap dan salah kadangkala dipandang  sebagai sesuatu yang amat negatif dalam kehidupan insan. Ya, kalau kita  lihat secara sekali lalu – silap dan salah – sememangnya adalah negatif.
Tetapi sebagai manusia, kita tak akan mampu mengelak diri daripada  melakukan kesilapan dan kesalahan. Tidak kira sehebat mana pun kita  mempersiapkan diri, akan wujud juga keadaan-keadaan di mana kita  melakukan kesilapan.
Ramai orang fobia dengan kesalahan dan kesilapan. Kerana mereka  takut, ada celoreng hitam dalam perjalanan kehidupan mereka. Namun  sebenarnya, kegagalan, kesilapan, kesalahan bukanlah sesuatu yang  negatif 100%.
Kita patut memandang kegagalan, kesilapan dan kesalahan itu daripada luar kotak kebiasaan.
Kita ingat kita dah faham
Kadangkala, kita bersedia hingga sampai tahap kita merasakan bahawa  kita telah faham atau merasakan bahawa kita telah mampu melakukan  terhadap sesuatu perkara.
Untuk soalan periksa kita rasa kita sudah boleh jawab semua jenis  soalan. Untuk tugasan kerja kita rasa kita mampu melakukan apa sahaja  yang mendatang.
Namun tiba-tiba, kita melakukan kesilapan. Apa yang kita faham  rupanya tidak tepat. Apa yang kita siap sediakan rupanya tidak kena  dengan apa yang dikehendaki dalam pekerjaan. Kita telah tersalah. Kita  gagal mendapat keputusan yang cemerlang. Kita gagal dalam melakukan  kerja yang terbaik.
Di sini kalau keimanan itu wujud bersama kita, pertama sekali kita akan pulang bersangka baik kepada Allah SWT.
“Mustahil Allah nak zalim pada aku.”
Hal ini kerana, jelas wujud di dalam Hadith yang ke-24, dalam Hadith  40 Karangan Imam An-Nawawi Rahimahullah: Daripada Abu Zar al-Ghifaari  r.a, daripada Rasulullah s.a.w berdasarkan apa yang diriwayatkannya  daripada Tuhannya yang Maha Mulia lagi Maha Tinggi bahawasanya Ia  berfirman : 
“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku mengharamkan ke atas diri-Ku kezaliman…” Hadith Riwayat Muslim.
Maka kita akan melihat semula kesilapan kita itu.
“Kenapa aku silap? Di mana aku silap? Macam mana aku boleh tersilap.”
Dan ketahuilah, apabila kita muhasabah semula, kita akan mendapat  satu perkara baru. Pengajaran baru. Yang mana sekiranya Allah izin kita  tidak silap dalam kesilapan kita tadi, kita tidak akan mempelajari  pengajaran tersebut. Kita tidak akan mengetahuinya. Namun dengan kasih  sayang Allah SWT, dengan hikmahNya yang tersangat luas, Allah ingin kita  melihat sesuatu. Sebab itu disilapkan kita.
Tidakkah kita memerhatikan?
Keberanian mengambil risiko 
Apabila mempunyai rasa tidak takut untuk melakukan kesilapan, tidak  takut untuk gagal, maka kita akan mempunyai kekuatan untuk mengambil  risiko. Semestinya mengambil risiko sekiranya boleh, kita patut elakkan.  Namun akan wujud situasi-situasi di mana, walaupun selepas perkiraan  yang rapi, tetap wujud risiko yang menanti. Maka di situlah ketidak  takutan untuk melakukan kesilapan tadi memberikan kekuatan untuk  mengecas keberanian kita dalam mengambil risiko tadi.
Hal ini kerana, kita yakin bahawa, sekiranya kita tersilap, kita akan mempelajari sesuatu yang baru lagi.
Membaca kehidupan, kadangkala 1000 kali lebih bermakna dari membaca buku
Akhirnya apabila mendalami perkara ini, yakni belajar daripada  kesilapan ini, kita akan melihat bahawa kesilapan, kegagalan, kesalahan,  itu semua adalah pelengkap kepada kehidupan. Orang yang memerhatikan  kesilapannya semula, kegagalannya semula, akan mempunyai kesedaran yang  lebih tinggi, kepekaan yang lebih tinggi berbanding mereka yang tidak  pernah peduli akan kegagalan mereka.
Inilah dia apa yang suka saya katakan sebagai ‘membaca kehidupan’.  Bukan sekadar bergantung kepada teori-teori di dalam buku semata-mata.  Namun melihat juga apa yang telah kita lalui di dalam kehidupan kita.
Belajar daripada kesilapan, belajar daripada kegagalan, itu semua banyak membantu untuk membina satu peribadi yang lebih mantap.
Tidak semestinya perlu silap dahulu. =)
Ada orang akan berkata kepada saya:
“Kalau macam itu, kita tak payah susah-susah belajar. Biar gagal dulu. Lepas gagal baru belajar.”
Saya tersenyum dan tertawa. Beginilah, mudahnya saya katakan begini:
“Kalau ada orang yang dah pernah terjun dalam api, dan kemudian cakap  api itu panas, bersama bukti yang kukuh menunjukkan kecelakaan yang  boleh dibawa oleh penerjunan ke dalam api(ada kesan kulit terbakar pada  tubuh dia dan sebagainya), agak-agak wujudkah keperluan untuk kita turun  ke dalam api juga?”
Tidak semestinya kita perlu silap dahulu. Belajar daripada kesilapan  orang lain juga adalah salah satu seni. Namun, apabila tiba masanya bila  kita tidak lagi mempunyai pilihan melainkan berhadapan dengan risiko  untuk melakukan kesilapan, maka jangan takut. Bersangka baiklah kepada  Allah SWT, dan bergeraklah.
Kalau berjaya itu alhamdulillah. Kalau gagal itu, kita belajar lagi.  Dan semestinya, bila kita gagal, kita akan nampak sesuatu yang selama  ini rupanya kita tidak perasan, melainkan apabila kita gagal.
Kadang-kadang, kejayaan atas angin kita itu, tak punya makna.
Tahukah apa itu kejayaan atas angin? Itulah dia kejayaan palsu.
Contoh, kita berjaya di dalam peperiksaan bukan kerana kita pakar  atau faham dalam mata pelajaran tersebut. Tetapi bernasib baik. Bernasib  baik kerana sudah ada soalan bocor. Nasib baik kerana apa yang kita  baru baca pada malam peperiksaan masuk. Nasib baik kerana, pensyarah  tambahkan markah. Nasib baik kerana, kita sudah buat banyak latih tubi,  dan jenis-jenis soalan tersebut masuk periksa.
Ini adalah kejayaan yang pada saya tak ada maknanya. Sebab kita  sebenarnya tidak akan mampu memanfaatkan ilmu di dalam hal ini. Kita  sebenarnya tidak pakar. Kita sebenarnya bodoh. Kita hanya bernasib baik.  Berbelas A, atau segulung ijazah tidak bermakna sekiranya kita berjaya  demikian.
Maka, dalam situasi ini, pada saya, kalau kita gagal, kalau kita  tidak mendapat markah yang baik, kadangkala itu lebih baik. Moga-moga  apabila kita gagal itu, kita tergerak untuk belajar lagi, melihat semula  mengapa kita gagal. Di mana kita gagal. Agar kita belajar lebih banyak  lagi. Faham dengan lebih baik lagi.
Sebab itu kadang-kadang, orang-orang yang bermarkah rendah lebih  memahami mata pelajaran, atau pengkhususan dalam kos yang diambilnya.  Kerana bila mereka mendapat markah yang rendah, mereka mengulangkaji  semula. Belajar semula. Memahaminya semula. Berbanding mereka yang  ‘bernasib baik’, cemerlang dan kemudian tidak melihat semula.
Penutup: Melihat kembali hikmah dalam kegagalan. Belajar dari kesilapan.
Pernah seorang pakcik berkata kepada saya, selepas saya kemalangan kenderaan.
“Memang begitulah. Nanti lepas ni, mesti lebih cekap bawa kereta.”
Saya tertawa. Tetapi memang betul. Selepas kemalangan itu, saya jadi  lebih cekap. Lebih cermat. Lebih peka. Lebih sensitiv apabila memandu.  Tidak leka dan lalai.
Belajar daripada kesilapan.
Tetapi apakah kita mesti ‘mengkemalangankan’ diri kita baru nak sedar?
Tidak semestinya. Kita boleh mula belajar daripada kemalangan orang  lain dahulu. Namun begitulah, kadangkala kita dah belajar dah daripada  kemalangan orang lain. Kita dah usaha dah untuk cermat. Kita rasa kita  dah paling sensitiv dah. Namun, apabila Allah izin kita kemalangan juga,  akan terbukalah pintu-pintu ‘kecacatan’ yang selama ini rupanya kita  tidak lihat.
Maka daripada kemalangan itu kita belajar lagi. Menjadi yang lebih  baik lagi. Lebih baik dari apa yang kita rasa selama ini kita telah  baik.
Dan begitulah dalam hal-hal yang lain. Kegagalan, kesilapan,  kesalahan, semua itu hakikatnya adalah pengajaran halus daripada Allah  SWT. Daripada semua itu, kita belajar,mengambil iktibar. Menjadi yang  lebih baik lagi.
http://langitilahi.com